Prinsip Asas Takaful
Tiga prinsip utama di bawah konsep Takaful ialah: Saling Bertanggungjawab Peserta-peserta di bawah skim/pelan Takaful bersetuju saling bertanggungjawab di antara satu sama lain. Sifat bertanggungjawab dengan niat yang ikhlas dan baik adalah merupakan satu ibadah dan ianya amat dituntut di dalam Islam. Sabda Rasulallah s.a.w: "Tidaklah kamu tergolong sebagai umatku selagi engkau tidak menyayangi sesamamu". - (Riwayat Bukhari dan Muslim) Saling Bekerjasama Para peserta bersetuju untuk bekerjasama dan saling bantu membantu di antara satu sama lain. Islam amat menuntut umatnya bekerjasama di dalam perkara-perkara kebaikan yang boleh menyuburkan semangat taqwa. Di antara unsur-unsur kebajikan yang digariskan di dalam Al-Quran adalah seperti melaksanakan fungsi harta secara optimum, menepati janji dan sabar ketika mengalami bencana. Antara ayat Al-Quran yang menggalakkan semangat bekerjasama di kalangan umat islam ialah: "Bekerjasamalah kamu di dalam perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bekerjasama di dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan". - (Al-Maidah: 2) Saling Lindung-melindungi Peserta Takaful juga bersetuju untuk saling lindung melindungi di antara satu sama lain dari sebarang kesusahan, bencana dan sebagainya. Keselamatan atau keamanan merupakan suatu keperluan tabi'i di dalam kehidupan manusia, sebagaimana mencari rezeki. Firman Allah di dalam surah Quraisy memberi janji keselamatan dari ancaman kelaparan dan ketakutan. Lapar adalah gambaran kepada keperluan jasmani dan takut adalah gambaran keperluan rohani. Kedua-dua perkara ini tidak boleh diabaikan kerana kesannya terhadap kehidupan amat bahaya. Di antara sabda Rasulullah s.a.w yang mengandungi maksud sedemikian ialah: "Sesungguhnya seorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia" - (Riwayat Ibnu Majah)
Seterusnya di: www.takaful.smart2u.com